Thursday 17 January 2013

PERANAN IBU BAPA BAGI MEMBANTU ANAK-ANAK MENGHADAPI PEPERIKSAAN



                                                                 
          Anak merupakan anugerah Allah S.W.T yang tidak ternilai harganya.Anak-anak merupakan aset yang besar kepada kedua ibu bapa,lebih-lebih lagi ketika ibu bapa menjangkau usia tua.Anak-anak juga adalah jantung hati dan penawar rindu ibu bapa.
            Keriangan, keseronokan, kedukaan dan kesusahan ketika membesarkan anak-anak merupakan perkara yang lumrah dan menjadi asam garam bagi ibu bapa dalam menangani dan mengurus amanah Allah S.W.T. itu.
          Memang tidak dapat disangkal lagi bahawa pendidikan perlu diberi kepada anak-anak ketika mereka berusia 7 tahun hingga 17 tahun.Ibu bapa juga mengimpikan anak-anak mereka dapat meneruskan pendidikan sehingga ke peringkat universiti dan mendapat kerja yang baik apabila tamatnya pengajian di universiti nanti.
           Namun,berbagai rintangan seharusnya dihadapi oleh ibu bapa di dalam memastikan anak-anak mereka berjaya dalam bidang ilmu ini.Lumrahnya,kejayaan anak-anak ini diukur melalui pencapaian peperiksaan awam yang bakal mereka hadapi.Kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan awam sebagai kayu pengukur anak-anak mereka berjaya dalam pelajaran.
      Justeru,ibu bapa perlu memainkan peranan yang penting ketika anak-anak mereka akan menghadapi peperiksaan,sama ada peperiksaan yang dijalankan di peringkat sekolah mahu pun peperiksaan awam.Peperiksaan yang dijalankan di peringkat sekolah amat penting sebagai ukuran sama ada anak-anak mereka berjaya menguasai pelajaran yang telah disampaikan oleh guru dan bersedia menghadapi peperiksaan awam atau sebaliknya.Berikut disenaraikan beberapa panduan peranan ibu bapa
di dalam memastikan persediaan anak-anak dalam menghadapi peperiksaan.Adalah diharapkan agar panduan-panduan ini akan dapat dapat diberikan perhatian oleh ibu bapa dan diambil tindakan yang sewajarnya.

Panduan untuk ibu bapa bagi membantu anak-anak mereka melangkah musim peperiksaan dengan tenang:
  •  Sentiasa bersama anak-anak
  •  Melahirkan kasih sayang
  • Memberi nasihat/panduan yang berhemah
  • Meraikan anak-anak pergi dan balik dari sekolah 
  • Memberatkan pendidikan agama di rumah 
  • Terlibat dengan urusan pelajaran anak-anak 
  • Mengatur masa rehat dan riadah anak-anak
  •  Menggalakkan dan menyediakan suasana membaca
  •  Menunjukkan contoh-contoh yang terbaik kepada anak-anak 
  • Meluangkan masa dan bergurau senda dengan anak-anak 
  • Mewujudkan komunikasi yang baik dengan anak-anak 
  • Menggunakan bahasa yang betul ketika bersama anak-anak 
  • Menunaikan janji kepada anak-anak
  •  Menunjukkan minat kepada aktiviti anak-anak 
  • Berminat untuk melayan pertanyaan anak-anak
  • Memberi perhatian terhadap buah fikiran anak-anak 
  • Tidak mengancam dan menakutkan anak-anak 
  • Makan bersama anak-anak
  • Tidak memberikan hukuman yang akan mendatangkan kesan psikologi kepada anak-anak
  • Memberikan nasihat kepada anak-anak
  •  Memberikan penghargaan kepada anak-anak
  • Bersikap tegas dan terbuka ketika mendidik anak-anak
  •  Membantu anak-anak membuat jadual belajar yang betul
  • Berbincang dengan guru mengenai prestasi akademik dan disiplin anak-anak
  •  Berbincang dengan anak-anak cara menangani masalah
  • Sentiasa bersedia mendengar masalah anak-anak
  •  Sentiasa memantau pergerakan anak-anak 
  • Menemani anak-anak ketika belajar 
  • Membimbing anak-anak ketika berada di dewan peperiksaan 
  • Mendoakan kejayaan anak-anak


                Semoga panduan-panduan yang diberikan ini akan dapat membantu ibu bapa ketika berdepan dengan anak-anak yang akan menghadapi peperiksaan.Panduan-panduan ini sebenarnya diketahui oleh kita semua,namun kita tidak mengendahkannya.Mungkin ada ibu bapa apabila melihat 30 panduan ini,mereka mengatakan bahawa saya telah pun mempraktikkannya.Terdapat juga ibu bapa yang mengatakan bahawa mereka sedar tentang 30 panduan ini tetapi tidak mempraktikkan sepenuhnya kerana sibuk dengan kerja mereka.Terdapat juga ibu bapa yang mengatakan bahawa mereka langsung tidak mengetahui tentang 30 panduan ini.
                Ibu bapa yang mempraktikkan 30 panduan ini akan dapat melihat hasil yang membanggakan  daripada kejayaan anak-anak mereka.Golongan ibu bapa yang sedar tetapi masih belum mempraktikkan 30 panduan ini seharusnya faham akan peranan mereka di dalam membantu kejayaan anak-anak.Golongan ibu bapa yang tidak mengetahui tentang 30 panduan ini,diharapkan akan dapat mengamalkan 30 panduan ini ketika berdepan dengan anak-anak yang masih berada di bangku sekolah.